KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Permohonan bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terenganu kepada pelajar anak negeri yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta sama ada di dalam atau luar negara kini dibuka hingga 31 Mac depan.
MAIDAM Terengganu dalam satu kenyataan berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di pautan www.espmb.com/maidam_zakat/.
“Permohonan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Bantuan dermasiswa itu membabitkan pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sijil sehingga peringkat doktor falsafah (PhD).
Ia dikhaskan kepada pelajar yang tidak mendapat tajaan atau pinjaman daripada mana-mana institusi selain mereka yang kurang berkemampuan. – UTUSAN ONLINE










