KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengenepikan permohonan Mahkamah Sesyen untuk mendapatkan kembali pasport sementara milik Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bagi membolehkan beliau menjalani rawatan di London, United Kingdom.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak semula perintah yang diberikan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayub untuk memberikan pasport itu kepada Musa, 68.
Dalam penghakiman sebentar tadi, Mohamed Zaini berkata, tidak dapat dinafikan bahawa Musa mengalami beberapa penyakit berkaitan koronari namun tiada cadangan tertuduh yang membolehkannya mendapatkan rawatan di Singapura dan London.
Mahkamah memerintahkan Musa mesti menyerahkan pasportnya hari ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Shoib manakala tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri.
Semalam, pihak pendakwaan memohon Mahkamah Tinggi menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan bekas Ketua Menteri Sabah itu mendapatkan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di London.
Salim berkata, alasan mendapatkan rawatan di luar negara yang digunakan Musa selaku responden untuk mendapatkan pasportnya itu, bukanlah satu alasan ‘luar biasa’, tidak kukuh dan tidak memperlihatkan keperluan yang mendesak. – K ONLINE!










