KUALA LUMPUR 25 Jan. – Lombok bakal menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong selaras dengan perancangan AirAsia untuk membangunkan hab baharu di daerah Nusa Tenggara Barat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia akan mempercepatkan usaha pemulihan pasca gempa bumi dalam usaha menyokong komuniti di Nusa Tenggara Barat dan masyarakat Lombok.

“Tahun lepas merupakan tahun yang sangat berdukacita dan mencabar bagi masyarakat Lombok termasuk industri pelancongan yang terkesan akibat bencana gempa bumi.
“Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan bekerjasama dengan pihak lapangan terbang dan pihak berkuasa kerajaan tempatan untuk menjadikan Lombok sebagai hab terbaharu kami di Indonesia dan menjadikan komitmen ini satu realiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan pemulihan pasca gempa bumi dan dilihat sebagai pemangkin yang baik untuk para pelancong dan industri pelancongan di Indonesia.
Ini secara tidak langsung membantu merealisasi agenda kerajaan Indonesia untuk melestarikan industri pelancongan dalam membangunkan ‘10 Bali Baharu’.
AirAsia Indonesia dijangka memperuntukkan dua pesawat Airbus A320 yang akan berpangkalan di Lombok, dengan cadangan untuk menggandakan kekerapan ke Kuala Lumpur serta melancarkan laluan baharu ke ke Perth, Yogyakarta dan Bali pada pertengahan 2019.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan berkata, Lombok adalah destinasi pelancongan utama di rantau ini dan AirAsia bersedia memberitahu dunia yang mereka bersedia untuk menerima para pelancong.
“Sebagai destinasi percutian indah, Lombok mempunyai pelbagai potensi. Kami tahu dengan sumber yang ada dan kerjasama dengan industri pelancongan dari segi inisiatif pemasaran dan perhubungan awam, kami boleh mengembangkan pasaran dan mendorong permintaan buat Lombok,” katanya.
Sebagai sebahagian komitmen AirAsia bagi masyarakat tempatan Nusa Tenggara Barat, syarikat penerbangan itu juga dalam perbincangan dengan komuniti Lombok bagi membangunkan inisiatif pelancongan lestari.
AirAsia memulakan perkhidmatan antarabangsa dari Kuala Lumpur ke Lombok pada Oktober 2012. Pada masa ini, ia melibatkan tujuh penerbangan pergi balik seminggu antara Lombok dan Kuala Lumpur.











