LONDON 6 Jan. – Bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal mempertahankan Jurgen Klopp mampu mengetepikan cabaran Pep Guardiola dalam saingan Liga Perdana Inggeris, selepas dia memuji bos Liverpool itu sebagai jurulatih yang lebih hebat berbanding seterunya di Manchester City.
Van Gaal, 67, menyifatkan Reds akan merampas gelaran Liga Perdana daripada juara bertahan tersebut, meskipun City berjaya merapatkan jurang kepada empat mata setelah melakar kemenangan 2-1 di Etihad, Jumaat lalu.

Warga Belanda itu berkata, City memiliki barisan pemain yang lebih bagus, tetapi menegaskan, Klopp membuktikan kepada Guardiola bahawa dia merupakan jurulatih yang lebih baik. Van Gaal yang merangkul tujuh gelaran di Belanda, Sepanyol dan Jerman, pernah menerajui United menamatkan saingan di tangga keempat serta kelima selama dua musim di Old Trafford.
“Klopp berjaya mengubah Liverpool kepada sebuah mesin tempur yang sebenar, baik di bahagian serangan dan pertahanan. Jadi, jika mempertaruhkan wang saya untuk memilih sebuah kelab bagi menjuarai liga, ia sudah tentu Liverpool.
“Liverpool tidak bersandarkan kepada pemain berkualiti tinggi. Sebaliknya, barisan pemain yang mempunyai kualiti adalah City. Tetapi, terdapat kelemahan dalam diri Guardiola. Dia hanya melatih pasukannya dari segi serangan.
“Pada ketika pasukannya perlu bertahan, mereka amat teruk. Liverpool memiliki pasukan yang mampu bertahan lebih baik. Ini kerana Klopp telah melatih anak-anak buahnya menjadi sebuah pasukan pejuang, sama ada pada ketika mereka sedang menguasai bola ataupun tidak. Bagi skuad bimbingan Guardiola, itulah kekurangan mereka sekarang.
“City mempunyai idea hebat, tetapi tidak memiliki semangat juang yang betul. Jangan salah anggap, saya masih suka saksikan City bermain,” katanya. – AGENSI










