Lima laporan polis berkaitan wanita beri duit minyak - Utusan Malaysia

Lima laporan polis berkaitan wanita beri duit minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS 16 Jan. – Sebanyak sembilan laporan polis diterima berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, daripada jumlah itu, lima laporan polis berkaitan gambar tular seorang wanita memakai baju Pakatan Harapan (PH) memberi wang kepada Orang Asli di Pos Mension.

Katanya, pihaknya telah merujuk laporan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas arahan Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita juga telah menerima tiga laporan polis daripada pihak yang tidak berpuas hati berkaitan pemasangan bahan kempen yang dipasang di premis kerajaan dan premis persendirian.

“Laporan ini juga telah dirujuk kepada pihak SPR selain satu laporan penafian daripada seorang lelaki yang dituduh diminta mengambil gambar parti Barisan Nasional (BN ) yang memberi duit kepada pengundi dan akan dibayar RM1,000 bagi setiap keping gambar.

“Arahan juga telah diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk merujuk kes tersebut kepada majistret,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi pengeluaran permit ceramah pula, sebanyak 15 permit telah dipohon dengan masing-masing sembilan permit dikeluarkan kepada PH dan enam permit lagi kepada BN.

Katanya, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, enam permit untuk PH dan tiga permit untuk BN manakala masing-masing tiga permit untuk PH dan BN bagi DUN Jelai.

“Setakat ini tiada permohonan daripada calon bebas untuk ceramah dan kempen PRK juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN