KLANG 8 Jan. – Lima beranak nyaris maut apabila rumah mereka dibakar dalam cubaan bunuh oleh sekumpulan suspek dalam satu kejadian di Jalan Kunci Air Rantau Panjang, dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kesemua mangsa berusia 23 hingga 60 tahun itu terselamat apabila salah seorang daripadanya menyedari kebakaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, ketika kejadian, seorang daripada ahli keluarga itu belum tidur kerana sedang melayari internet.
“Dia seterusnya terhidu bau petrol dan terdengar pergerakan di depan rumah sebelum disusuli bunyi letupan dan apabila melihat keluar api sudah menyala. Dia kemudian mengejutkan semua ahli keluarganya untuk keluar menyelamatkan diri.
“Selepas semua ahli keluarganya keluarga, mangsa menghubungi bomba dan dalam masa sama berusaha memadamkan kebakaran sementara menunggu kehadiran pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Dalam pada itu, Nurulhuda berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran disebabkan petrol yang telah disimbah di sekeliling rumah dan dibakar menggunakan mancis.
“Kita menganggarkan jumlah kerugian kira-kira RM2,000. Polis juga sedang menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 4.08 pagi.
“Bomba tiba di lokasi sembilan minit kemudian dan mendapati kebakaran di bahagian rak kasut serta dinding berjaya dipadamkan keluarga terbabit dan terdapat kesan petrol di rumah tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










