ALOR GAJAH – Lima beradik gusar apabila mereka ditinggalkan oleh ibu kandung di sebuah pusat jagaan di sini tanpa sebarang berita sejak September lalu.
Kesemua mereka yang berusia antara enam hingga 12 tahun itu ditinggalkan oleh wanita berkenaan di Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel sebelum menghilangkan diri.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, Ansharey Matasarsad berkata, ibu kanak-kanak tersebut memberi alasan mahu mencari saudara-mara mereka di Johor Bahru, namun sehingga kini masih belum muncul.
“Dia (wanita terbabit) hanya memberitahu akan mengambil semula anak mereka selepas kembali dari Johor Bahru secepat mungkin, namun sehingga hari ini dia hilang tanpa berita.
“Bagaimanapun, pada masa sama bapa kepada anak-anak ini ada menghubungi, namun mereka tidak sesuai diletakkan di bawah jagaan lelaki berkenaan kerana sebelum ini dia terbabit dalam kesalahan gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Mahkamah Majistret Alor Gajah telah memerintahkan kanak-kanak itu berada di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (pindaan 2016) yang dibicarakan pada 14 Januari lalu.
“Buat masa ini, perintah jagaan berada di bawah pengusaha Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel dan anak-anak ini juga masih menantikan kepulangan ibu mereka.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita terbabit bolehlah menghubungi Pegawai JKM Alor Gajah atau pelindung kanak-kanak ditalian 06-5561267,” katanya. – K! ONLINE










