KUALA KEDAH 6 Jan. – Malaysia akan menjadikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) pada Mac ini sebagai platform untuk meningkatkan sistem peperangan siber dan bidang teknologi pesawat udara tanpa pemandu (UAV) atau dron.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, langkah itu perlu bagi menjaga keselamatan negara dan mengekang ancaman, memandangkan negara ini mempunyai kawasan perairan yang luas untuk dikawal.
Menurutnya, Malaysia akan berunding dengan syarikat-syarikat terlibat dalam pameran itu mengenai peralatan yang bersesuaian untuk kegunaan kawalan di perairan dan pada masa sama berkemampuan daripada segi kewangan negara.
“Syarikat-syarikat baharu akan mempamerkan penghasilan mereka sama ada bagi segmen maritim atau udara pada LIMA 19 kali ini, misalnya dari Turki yang kita tahu mereka sekarang sedang mempelopori industri pertahanan moden berbanding negara lain.
“Cuma dunia pertahanan hari ini telah ke arah UAV dan perperangan siber dan
saya yakin syarikat-syarikat baharu itu akan berlumba-lumba untuk mempamerkan kehebatan mereka dalam bidang berkenaan. Malaysia juga akan meningkatkan sistem itu pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa menziarahi keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini hari ini.
LIMA 19 yang memasuki edisi ke-15 akan dianjurkan di Pulau Langkawi bermula 26 hingga 30 Mac ini yang menyaksikan penyertaan syarikat antarabangsa serta pertunjukan udara dan maritim di pulau peranginan itu.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, persiapan LIMA 19 juga kini sedang berjalan lancar dengan 100 peratus lokasi pameran sudah habis ditempah oleh pempamer.
Katanya, sambutan LIMA’19 kali ini paling hebat kerana kebiasaannya jika masih berbaki dua bulan sebelum penganjuran, baru 70 ke 80 peratus yang menyatakan persetujuan untuk terlibat sama.
“Memang perbelanjaannya berkurangan berbanding penganjuran edisi-edisi terdahulu tetapi saya yakin akan dapat dilaksanakan dengan lebih hebat dan meriah, malah akan ada aset-aset baharu dipamerkan,” ujarnya.
Selain Turki, ujar Mohamad, Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun, Korea Selatan dan beberapa lagi negara lain akan turut menyertai pameran terulung itu. – UTUSAN ONLINE
[13:10, 1/6/2019] Khairulanuar Yahaya:










