SEREMBAN 28 Jan. – Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina 10 orang penghuni Pusat Penjagaan Warga Emas Tong Sim dekat Rasah di sini meriah dalam kunjungan amal Kumpulan Hotel Lexis hari ini. Pengurus Besar Lexis Hibiscus Port Dickson, Simon Tan berkata, majlis itu dimulakan dengan persembahan tarian singa dan nyanyian bagi menghiburkan penghuni rumah kebajikan itu. “Penghuni rumah kebajikan ini dan kakitangan hotel kemudian sama-sama mengaul yee sang sebagai kemuncak majlis hari ini. “Semua yang hadir kemudian dijamu dengan hidangan makan tengah hari yang disediakan oleh cef hotel bersama pasukannya,” katanya di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi rumah kebajikan itu, Chong On Wee dan Pengurus Besar Grand Lexis Port Dickson, Lily Chiok. Selain hadiah ang pow, kumpulan perhotelan itu turut memberi sumbangan barang-barang keperluan harian seperti susu tepung, biskut, makanan dalam tin, serbuk minuman dan barang penjagaan diri untuk kegunaan penghuni rumah kebajikan itu. – UTUSAN ONLINE











