PARIS – Satu letupan besar memusnahkan sebuah bakeri di tengah kota Paris pagi semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan 50 lagi cedera dipercayai akibat insiden kebocoran gas, menurut pihak berkuasa.
Pejabat pendakwa raya Perancis mengesahkan bahawa dua anggota bomba terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan) semalam.
Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner menyatakan, kira-kira 200 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran susulan letupan itu dan menyelamatkan penduduk yang berada dalam beberapa bangunan berhampiran.
Seramai 100 anggota polis tiba di situ untuk mengawal keadaan dan menutup jalan di hadapan teater opera berhampiran.
Ini bagi membolehkan dua helikopter penyelamat mendarat untuk memindahkan mangsa yang mengalami kecederaan ke hospital.
Beberapa jalan di sekitar kawasan bakeri itu dan lokasi tarikan utama seperti Muzium Lilin Musee Grevin dan jalan raya terkenal, Rue des Martyrs turut ditutup kepada orang awam.
“Bilangan mangsa nampaknya tinggi,” kata Castaner.
Sumber pihak polis mendedahkan, anggota bomba sudah berada di lokasi kejadian sebelum letupan berlaku bagi menyiasat aduan kebocoran gas.
“Satu letupan berlaku di sebuah bakeri. Ia hanya satu kemalangan,” kata Timbalan Datuk Bandar Arrondissement Kesembilan Paris, Sylvain Maillard kepada stesen televisyen BFM.
Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe turut melawat lokasi kejadian.
Beberapa kereta kelihatan terbalik akibat impak letupan, sementara sisa-sisa daripada bangunan bertaburan di jalan raya. Jentera bomba dan polis dilihat kerap keluar masuk ke lokasi kejadian selepas letupan.
“Kami sedang tidur. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan seperti gempa bumi,” kata seorang saksi di situ. – AFP/Reuters










