Lelaki rentung dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Lelaki rentung dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 7 Jan. – Seorang lelaki lumpuh separuh badan rentung apabila terperangkap dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah teres dua tingkat di Jalan Keembong 18, Taman Johor Jaya, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, mangsa, S. Krisnan, 55, yang lumpuh akibat kemalangan lima tahun lalu maut selepas melecur seluruh anggota badan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Fauzan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.05 petang.

“Sebanyak dua buah jentera bomba dengan kekuatan seramai 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian. Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Bomba menggunakan dua pancutan aliran air yang disembur di bahagian atas serta bahagian bawah rumah. Selepas pemadaman berjaya dilakukan. Kita mendapti mangsa berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Fauzan berkata, kebakaran turut mengakibatkan rumah sebelah turut mengalami kebakaran sebanyak 15 peratus, bagaimanapun kesemua mangsa di rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri.

“Rumah terbabit didiami mangsa, isteri serta dua orang anak lelaki dan perempuan mangsa. Ketika kejadian, hanya mangsa sahaja berada di bahagian atas rumah.

“Anak serta isteri mangsa yang ketika itu berada di bahagian bawah rumah berjaya menyelamatkan diri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN