BATU GAJAH 16 Jan. – Seorang lelaki yang sedang membersihkan kebun buah-buahan berhampiran Taman Kinta Perdana di sini hari ini, nyaris maut setelah terkena tembakan peluru sesat pada leher.
Dalam kejadian pada pukul 5.45 petang itu, Muhammad Safwan Abu Jaapan, 20, cedera parah namun keadaannya kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya sedang membersihkan kawasan kebun buah-buahan yang telah diusahakan sejak 10 tahun lalu.
Katanya, mereka kemudiannya dikejutkan dengan bunyi letupan sebelum rakan mangsa melihat lelaki itu rebah dan darah mengalir di lehernya.
“Rakan mangsa terus membawa lelaki itu ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke HRPB untuk mengeluarkan serpihan disyaki peluru penabur di leher mangsa yang dapat dilihat melalui hasil x-ray yang dilakukan,” katanya, di sini hari ini.
Menurut beliau, kejadian disyaki akibat peluru sesat yang dilepaskan oleh pemburu haram yang sering memburu ayam hutan dan binatang lain di kawasan belukar di seberang Sungai Kinta.
Katanya, jarak antara lokasi kejadian dan Sungai Kinta kira-kira 100 meter.
“Tempat kejadian merupakan kawasan kebun buah-buahan berpagar dan telah diteroka sejak 10 tahun lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya. – UTUSAN ONLINE










