IPOH 9 Jan. – Seorang lelaki maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Pinji Mewah di sini pagi tadi.
Mangsa, Ooi Hock Chuan, 63, dijumpai di ruang tamu rumah berkenaan dengan kesan lecur hampir 40 peratus oleh anggota bomba yang memadam kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, sekumpulan anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.14 pagi.
Katanya, semasa sampai di lokasi tersebut, api sedang marak dan pihaknya dimaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam rumah berkenaan.
“Operasi memadam kebakaran segera dilakukan sebelum menjumpai mangsa dalam di ruang tamu rumah. Mangsa bagaimanapun telah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE










