Lelaki ditahan kes bakar bilik guru, pejabat sekolah - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan kes bakar bilik guru, pejabat sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 30 Jan. – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kebakaran sebuah bilik guru dan pejabat penolong kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keladi, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun tersebut dikesan memasuki sekolah berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek ditahan di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

“Suspek sebelum itu ditahan kerana kes curi dalam bangunan dan hasil soal siasat yang dijalankan, dia turut mengaku terlibat dalam kebakaran sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Ahmad Nasir, pihaknya kemudian merampas sebuah telefon bimbit yang berada di dalam ruang penyimpanan barang orang kena tahan di Balai Polis Kulim.

“Siasatan percaya telefon bimbit itu adalah milik seorang guru yang dicuri suspek sebelum dia bertindak membakar bilik guru dan bilik pejabat penolong kanan,” ujarnya.

Tambahnya, suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah mendakwa tidak sedar perlakuannya membakar sekolah kerana mengakui baru sahaja mengambil dadah jenis eramin 5.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×