BUKIT MERTAJAM 3 Jan. – Kegiatan tidak bertanggungjawab empat lelaki mencuri kabel milik TM di Kampung Tok Suboh di sini awal pagi tadi memakan diri apabila salah seorang daripada mereka ditahan polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi tadi, keempat-empat mereka dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh polis peronda di kawasan gelap berdekatan stesen bas berdekatan lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika dihampiri, suspek cuba melarikan diri dengan dua buah motosikal namun salah seorang daripada mereka berjaya diberkas polis.
“Siasatan pada badan suspek yang berusia 22 tahun itu menemukan gunting pemotong dawai dan hasil siasatan lanjut menemukan tiga gulung kabel TM berukuran kira-kira 30 meter disorok di kawasan berdekatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan, suspek itu kini ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri manakala tiga lagi rakannya sedang diburu polis. – UTUSAN ONLINE










