MELAKA 30 Jan. – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada November lalu.
R. Ruban, 26, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norma Ismail.
Tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu di Bukit Senjuang di sini kira-kira pukul 9 pagi pada 7 November lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim sebelum itu menawarkan ikat jamin sebanyak RM20, 000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak mempunyai wang dan menganggur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










