Lelaki bersenjata samun premis jual alat ganti kereta - Utusan Malaysia

Lelaki bersenjata samun premis jual alat ganti kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG – Pemilik sebuah premis menjual alat ganti kereta di Kampung Baru Cina Rawang di sini mengalami kerugian berjumlah RM23,000 akibat disamun sekumpulan lelaki bersenjata dalam satu kejadian awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kesemua suspek yang menaiki van berwarna putih dikatakan telah masuk secara melulu ke kawasan premis berkenaan yang dijaga seorang pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua daripada empat suspek yang memegang parang panjang itu mengacukan senjata tersebut ke leher pengawal keselamatan yang berada di situ sebelum mengikat tangan dan kakinya.

Katanya, susulan itu suspek menggeledah seluruh premis sebelum membawa lari sebuah kereta Mitsubishi Triton milik pelanggan, wang tunai RM10,000 serta telefon bimbit mangsa turut dilarikan.

“Selepas beberapa jam, pengawal keselamatan tersebut berjaya melepaskan diri daripada ikatan berkenaan sebelum memaklumkan kejadian kepada majikannya.

“Hasil siasatan mendapati anggaran kerugian bernilai RM23,000 dan pihak polis kini sedang memburu empat lelaki dipercayai berbangsa India yang terlibat dalam kejadian samun itu,” katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×