ALOR SETAR 23 Jan. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkenalkan konsep pengajian baharu bagi melahirkan lebih ramai juruterbang tentera yang bertauliah menerusi Program 2u2i hasil kerjasama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, calon pegawai kadet juruterbang akan hanya mengambil masa empat tahun melengkapkan pengajian di UPNM dan di Kolej Tentera Udara (KTU) berbanding hampir enam tahun sebelum ini.
Menurutnya, 2u2i bermaksud dua tahun pengajian akademik di UPNM dan dua tahun latihan industri di KTU, melibatkan 23 calon juruterbang bagi kumpulan penuntut pertama.
“Mereka adalah penuntut yang memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Penerbangan di UPNM bagi fasa 2u sejak September tahun lalu dan dijangka melengkapkan pengajian masing-masing termasuk fasa 2i di KTU pada Oktober 2022.
“Pengenalan Program 2u2i memberi manfaat besar kepada TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menjimatkan kos, namun kami tidak akan berkompromi terhadap standard serta piawaian pengajian di universiti,” katanya selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UPNM di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.










