Larangan merokok: Kerajaan tidak akan berganjak - Utusan Malaysia

Larangan merokok: Kerajaan tidak akan berganjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 9 Jan. – Kerajaan tidak akan berganjak dengan pelaksanaan larangan merokok di premis-premis makanan meskipun mendapat bantahan daripada golongan perokok tegar.


Malah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, larangan itu akan dikuatkuasakan dengan lebih baik selepas ini.


Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad 

“Sudah pasti kita tidak akan berganjak dengan larangan ini. Kita akan mendepani tentangan-tentangan ini dan kita pun tahu ada semakan kehakiman berhubung ini.


“Tetapi kita juga mendapat penglibatan daripada pihak Peguam Negara dan pakar undang-undang untuk membantu kementerian dalam mempertahankan serta menjamin kita tidak berganjak daripada (keputusan) ini,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di kementeriannya, di sini hari ini.


Melepasi lebih seminggu pelaksanaan larangan merokok berkenaan jelas Dzulkefly, pihak kerajaan telah memperoleh sokongan serta dokongan sangat baik semua pihak meskipun wujud tentangan daripada golongan perokok.


Menurutnya, kementerian yakin langkah tersebut akan membawa impak positif ke arah usaha menangani penularan penyakit tidak berjangkit (NCD).


Dalam pada itu, kata beliau, sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 30,548 premis telah dilawati pihak penguatkuasaan sementara jumlah amaran dikeluarkan adalah sebanyak 13,724.


“Bilangan risalah diedar pula adalah sebanyak 76,274 dan sebanyak 75,280 individu telah didekati dalam usaha memberikan pendidikan dalam soal rokok,” katanya.


Menjawab persoalan sama ada kementerian mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan merokok di premis makanan selepas pukul 10 malam, beliau berkata, cadangan itu tidak akan langsung dipertimbangkan kerana ia akan dilihat sebagai satu tindakan ke belakang.


Ditanya tentang cadangan bagi pihak restoran menyediakan tempat khas untuk perokok di premis-premis mereka, Dzulkefly berkata, ia bergantung kepada kreativiti masing-masing selagi tempat itu dibuat sejauh tiga meter dari premis.


Berhubung cadangan mengurangkan kandungan nikotin rokok, beliau berkata, usaha untuk menangani ketagihan rokok adalah sesuatu yang baik tetapi kementerian masih belum mempunyai sebarang keputusan berhubung perkara itu.


Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sabah bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok berkenaan. 


“Sabah telah bersetuju dan pelaksanaan itu kita diserahkan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×