PUTRAJAYA – Kempen penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan bukan satu usaha hangat-hangat tahi ayam sebaliknya ia dijalankan untuk membentuk masyarakat ke arah sebuah negara yang lebih bertamadun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu tidak berhenti setakat kempen sahaja namun, ia merupakan kempen untuk menghentikan amalan merokok sejajar hasrat menuju negara maju menjelang 2020.
Jelasnya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan kempen yang bermula 1 Januari lalu tidak bermusim di restoran dan kedai makan.
“Masih terlalu awal untuk katakan kempen ini berjaya kerana ia baru tiga hari dilaksanakan. Saya percaya jika dilaksanakan secara berterusan, ia akan mencapai hasrat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Promosi Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok dan Majlis Pelancaran Program Restart (Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau) di Presint 9 di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye dan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan ruangan atau kubikal merokok seperti di negara maju iaitu Jepun dan Korea Selatan.
Katanya, hasrat itu akan diteliti selepas tempoh enam bulan apabila aktiviti penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak ingkar arahan ditetapkan dilaksanakan.
“Kita sedang ke arah itu kerana kita juga perlu memberi perhatian mengenai hak untuk merokok iaitu tidak boleh menghalang orang untuk merokok,” katanya.
Tambahnya, sehingga semalam, sebanyak 5,746 premis telah diperiksa dan sebanyak 2,500 notis amaran dikeluarkan dan 14,237 risalah kesihatan telah diedarkan kepada orang ramai. – K! ONLINE










