KUALA LUMPUR 28 Jan. – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melaksanakan kutipan sampah secara lebih kerap dalam usaha meminimumkan penggunaan tong sampah.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd. Hamid Hussain berkata, pihaknya akan menyusun semula jadual kutipan sampah menjadi dua kali sehari terutama di kawasan komersial supaya tong sampah sentiasa dalam keadaan yang boleh digunakan dan sampah tidak melimpah keluar.
“Setakat ini kita telah menyediakan tong sampah secukupnya dan jadual kutipan akan dilaksanakan lebih kerap jika tong sampah yang disediakan tidak mencukupi.
“MPAJ juga akan mengkaji kawasan yang memerlukan banyak kerja pelupusan sampah dan akan memastikan bilangan tong yang disediakan mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil. 1/2019 di Menara MPAJ dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, MPAJ bersetuju dan menyahut baik saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tidak memanjakan rakyat Malaysia yang memohon tambahan tong sampah.
Abd. Hamid berkata, penyediaan tong sampah yang banyak tidak menjanjikan kebersihan terpelihara.
Sementara itu, Abd. Hamid berkata, pihaknya sedang berusaha melaksanakan kempen kitar semula supaya sisa pepejal yang sepatutnya diasingkan tidak dihimpunkan sekali dalam satu-satu masa sekali gus dapat mengurangkan penggunaan tong sampah.
“Melalui langkah ini, kita mahu menggalakkan masyarakat untuk mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan tidak perlu membuangnya setiap hari terutama di premis-premis dan kawasan kediaman,” katanya.
Jelasnya, rakyat Malaysia hari ini perlu dididik dengan cara pengurusan sampah yang betul dan mencontohi negara maju seperti Jepun yang tidak menyediakan tong sampah di beberapa kawasan. – UTUSAN ONLINE










