SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas 1,000 pasang kasut dan baju jenama tiruan bernilai RM170,000 dalam serbuan di sebuah pasar raya di sini kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Zubir Hamsa berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat yang dikemukakan pemilik cap dagang dan risikan selama tiga hari oleh pegawai penguat kuasa di premis itu.
“Kasut dan baju ini dijual di sebuah tapak yang disewa dalam premis itu. Kasut dan baju itu dijual kira-kira RM50 lebih murah berbanding harga jenama sebenar iaitu kasut pada harga RM89 sepasang dan baju antara RM199 hingga RM259 sehelai.
“Pembeli menyangkakan kasut itu adalah jenama sebenar yang dijual di tapak pasar raya itu pada harga diskaun,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNHEP Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini hari ini.
Zubir berkata, KPDNHEP Negeri Sembilan menahan seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 22 tahun yang bertindak selaku jurujual kasut dan baju terbabit dan mereka dilepaskan pada hari sama selepas memberi keterangan.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti dalang sebenar penjualan kasut dan baju jenama tiruan tersebut termasuk daripada mana barang itu diperoleh serta dalam proses mengambil keterangan pemilik pasar raya berkenaan.
Jelas beliau, siasatan mendapati dalang penjualan kasut dan baju jenama tiruan itu menjalankan aktiviti mereka secara bergerak dengan menyewa tapak-tapak perniagaan di pusat beli-belah bagi mengelak dikesan pasukan penguat kuasa.
Kata beliau, kes itu disiasat dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987 dan jika sabit kesalahan syarikat terlibat boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang.
Tambah beliau, hukuman bagi individu pula boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
“Berdasarkan pemeriksaan kami, kasut dan baju ini sukar dikenal pasti menggunakan jenama tiruan. Kami menasihati orang ramai yang mahu membeli barangan berjenama seperti ini membeli di butik atau pengedar yang sah,” katanya. – K! ONLINE










