KUALA LUMPUR 28 Jan. – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurangkan kos makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) tidak wajar kerana kos sedia ada sebelum ini jauh lebih rendah berbanding kos makanan banduan di negara ini.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, secara perbandingan, kos makanan seorang banduan negara ini mencecah RM35 hingga RM41 sehari dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Jadi, adalah sesuatu yang amat tidak wajar apabila kos makanan pelajar cemerlang di sekolah berasmara yang kosnya jauh lebih rendah mahu dipotong oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal Merican turut menyifatkan tindakan mengurangkan kos makanan sehari SBP itu diibaratkan sebagai suatu langkah ke belakang.
Katanya, pengurangan peruntukan daripada RM18.00 kepada RM14.50 bagi seorang pelajar sehari dilihat agak besar dan signifikan.
Justeru, kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan segera berhubung perkara tersebut.
“Kita positif dan boleh bersetuju dengan usaha Kementerian Pendidikan membuka ruang lebih besar kepada pelajar kumpulan berpendapatan rendah (B40) tetapi apa yang berlaku ini menunjukkan ikhtiar kerajaan yang tidak konsisten.
“Ramai ibubapa khuatir dengan tindakan ini. Mereka cukup khuatir jika langkah ini memberikan kesan langsung kepada kualiti pendidikan di SBP dan sekolah berasrama lain. Pengurangan peruntukan mencecah RM100 juta ini dirasakan keterlaluan,” katanya.
Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO melihat langkah menurunkan peruntukan SBP seakan mempunyai motif yang tidak munasabah kerana Kementerian Kewangan bersikap pemurah dengan pusat pendidikan persendirian dan kolej swasta.
“Saya yakin ada ruang penjimatan yang lebih wajar daripada menjadikan pelajar terbaik dihukum dengan cara begini.
“Saya juga menaruh keyakinan bahawa Menteri Pendidikan dapat memperhalusi semula isu ini bersama Menteri Kewangan, cari jalan yang lebih wajar dan munasabah. Jangan menjadikan pendidikan dan kelompok pelajar sebagai mangsa ikhtiar penjimatan kewangan yang keterlaluan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









