BUKIT MERTAJAM – Abu mayat Moey Yun Peng yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan awal pagi Ahad lepas, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Berapit, Bukit Mertajam.
Mayat mendiang Moey dibawa tiba di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 11.30pagi dan disusuli upacara keagamaan sebelum mayat dimasukkan ke dalam tempat pembakaran kira-kira 15 minit kemudian.
Suasana pilu menyelubungi krematorium itu sebaik sahaja jasad mendiang ditolak masuk ke dalam tempat pembakaran dan anggota keluarga serta rakan mendiang dilihat menangis serta memanggil-manggil nama si mati.
Proses pembakaran itu mengambil masa kira-kira dua jam sebelum abunya disemadikan di tanah perkuburan berkenaan.
Terdahulu, kira-kira 200 orang anggota keluarga dan rakan mendiang Moey melakukan upacara keagamaan dan penghormatan terakhir di rumah mendiang di Taman Kempas, Butterworth. – Bernama










