KOTA BHARU 2 Jan. – Peraturan larangan merokok di tempat makan disokong sepenuhnya pengusaha salah sebuah premis makanan pagi terkenal di bandar ini.

Sejak semalam, kedai Kopitiam Kita di Jalan Tok Guru di sini yang tersohor dengan roti titab dan menarik lebih 1,000 pelanggan sehari akhirnya tidak lagi dipenuhi asap rokok sebagaimana kebiasaan.
Pengarah Urusannya, Wong Nye Hua berkata, selalunya lebih 30 peratus daripada pelanggan yang berada dalam kedai pada satu-satu masa akan merokok dengan bebas.
“Walaupun peraturan sebenarnya belum berkuatkuasa tetapi pelanggan nampaknya sudah tahu mereka tidak boleh merokok dalam kedai.
“Saya tidak nampak perubahan daripada kedatangan pelanggan setakat ini malah sejak semalam kedai ini sudah tidak diselubungi asap rokok seperti dahulu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Sementara itu, seorang perokok berusia 30 tahun yang enggan dikenali berkata, dia masih berharap kerajaan melonggarkan peraturan berkenaan.
“Kalau boleh dikhususkan tempat berasingan dalam kedai untuk perokok kerana kami juga ada hak sebagai pelanggan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










