MELAKA – Seorang kontraktor direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menyebabkan kecederaan terhadap isteri serta bapa mentuanya dalam kejadian Isnin lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Melaka, Dorismah Mohd. Idris terhadap lelaki tersebut yang berumur 35 tahun.
Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, dan 18(A) Akta Keganasan Rumahtangga 1994.
Terdahulu, suspek telah ditahan semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bagi memberikan keterangan berhubungan laporan dibuat mangsa yang juga bapa mentuanya berumur 61 tahun.
Difahamkan, suspek didakwa telah memukul isteri dan bapa mentuanya menggunakan tangan selepas berang wanita berumur 35 tahun itu tidak menaiki Grab untuk pulang ke rumah, sebaliknya dihantar oleh warga emas berkenaan.
Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah rumah di Ayer Keroh Heights di sini pada 31 Disember lalu.
Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar ketika dihubungi mengesahkan perintah tahanan reman tersebut. – K! ONLINE










