PONTIAN 27 Jan. – Kementerian Kesihatan sedang berusaha memastikan Klinik Kesihatan Benut yang sekian lama dibina dapat beroperasi bagi manfaat 20,000 penduduk di sini.
Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Kesihatan daerah, Dr. Surinah Asan berkata, kementerian sedang melantik kontraktor baharu bagi menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh.
“Buat sementara waktu, Klinik Kesihatan Benut beroperasi di kuarters kakitangan di Jalan Parit Ismail yang memberi pelbagai perkhidmatan seperti pesakit luar, klinik ibu mengandung dan sebagainya.
“Sekiranya tiada sebarang masalah, klinik ini yang dibina dengan kos RM30 juta bakal beroperasi pada Oktober tahun ini,” katanya selepas menyampaikan taklimat Penguatkuasaan Larangan Merokok di Dewan Majlis Daerah Pontian, Benut di sini baru-baru ini.
Surinah berkata, seperti Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Klinik Kesihatan Benut juga menyediakan perkhidmatan klinik pergigian, kemudahan x-ray, klinik kanak-kanak dan ibu mengandung selain menempatkan lebih ramai doktor.
Pihaknya berharap tiada lagi sebarang halangan menjejaskan kelancaran operasi klinik itu yang turut mempunyai kuarters kakitangan bagi memudahkan mereka menjalankan tugas.
Menurutnya, apabila klinik tersebut siap, daerah ini mempunyai tiga klinik kesihatan selain Klinik Kesihatan Pontian dan Klinik Kesihatan Pekan Nanas yang beroperasi April tahun lalu.
“Selain penduduk sekitar Benut, Klinik Kesihatan Benut juga dapat memberi perkhidmatan kepada penduduk daerah berhampiran Pontian seperti Simpang Renggam, Rengit dan Batu Pahat sekali gus memberi kemudahan orang ramai mendapatkan rawatan,” katanya.
Menyentuh mengenai penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermula pada 1 Januari lalu, Surinah meminta pemilik premis memberi kerjasama penuh.
Katanya, pemilik premis perlu memastikan papan tanda larangan merokok dipasang supaya pelanggan tidak merokok dalam kedai dan keluar ke kawasan yang dibenarkan.










