SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini tular video seorang lelaki yang dikatakan agak berpangkat bertindak menendang beberapa buah motosikal orang awam yang diletakkan di dalam kawasan sebuah institusi pengajian kerana berang apabila pemilik kenderaan tersebut tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Dikhabarkan motosikal-motosikal berkenaan adalah milik ibu bapa yang menghantar anak mereka mendaftar di institusi itu.
Hal itu menjadi bualan orang ramai, biarpun tampak remeh namun impaknya dapat kita lihat apabila seseorang yang sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik kepada penuntut-penuntut baharu menjadi sebaliknya.
Ramai sebenarnya yang berperilaku sedemikian apabila hilang pertimbangan dalam diri, malah mungkin lebih buruk lagi.
Dalam hal ini, ia berkaitan perilaku dan adab, jika tidak diterapkan sedari kecil maka perilaku negatif sedemikian akan terbawa-bawa sehingga dewasa.
Hari ini kita sendiri dapat lihat, ramai dalam kalangan pelajar juga semakin biadab dan sukar untuk dibentuk akibat perubahan sekeliling. Mahu disalahkan guru yang tidak mendidik mereka sebaik mungkin tidak boleh juga kerana segalanya bermula dari rumah.
Ibu bapa hari ini kian sibuk mencari nafkah, hingga perhatian terhadap anak-anak berkurangan. Jika berterusan, dikhuatiri gejala sosial, masalah jenayah dan keruntuhan institusi kekeluargaan akan meningkat.
PELIHARA ADAB
Yan, Kedah










