ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menggunakan sistem gred bagi menentukan gaji setiap pemain Helang Merah mengikut kelayakan dan pencapaian masing-masing.
Setiausaha Kehormatnya, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, sistem baharu itu itu juga akan mengklasifikasikan pemain berdasarkan tahap kemampuan serta kecekapan taktikalnya.
“Klasifikasi itu antaranya berdasarkan kemampuan dan pencapaian mereka sama ada bermain di Piala Presiden, Piala Malaysia, mewakili Malaysia mahupun di peringkat Asia,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Kata beliau, sistem gred gaji tersebut membolehkan pemain mengetahui tahap kemampuan mereka dan faedah yang diperoleh selain mengelakkan pemain meminta gaji sewenang-wenangnya.
“KFA tidak mahu terlalu memfokuskan kepada duit kerana bagi kita, kebajikan pemain lebih penting seperti aspek rumah, kenderaan dan persekolahan anak-anak mereka,” ujarnya.
Berhubung kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengenai kes tunggakan gaji Liga Malaysia (Liga M) yang mencatatkan rekod tertinggi di Asia apabila sebanyak 262 kes dikemukakan ke Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM, kata beliau, KFA telah mengambil langkah awal bagi mengelakkan masalah itu daripada berlaku.
“Pengalaman saya sebagai akauntan, saya akan memastikan tidak akan berlaku tunggakan gaji dengan menyediakan gaji kesemua pemain dalam tempoh enam bulan, jadi kita tidak perlu fikir tentang pembayaran gaji setiap bulan,” jelasnya. – K! ONLINE










