Kesan emosi pelanggan, tingkatkan keselamatan premis - Utusan Malaysia

Kesan emosi pelanggan, tingkatkan keselamatan premis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANGUNAN teknologi pengesanan wajah sangat penting dalam membantu mengembangkan lagi perniagaan dan keselamatan di dalam premis.

Menyedari kepentingan pengesanan wajah itu, Syarikat Tapway telah menghasilkan penyelesaian FaceTrack pada tahun 2018.

Setiap perilaku pelanggan di dalam premis itu akan direkod menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kemudian dimasukkan ke dalam pangkalan data untuk penambahbaikan perkhidmatan.

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Tapway, Chee How Lim, FaceTrack memberi penyelesaian pengecaman wajah untuk peniaga yang mempunyai premis fizikal seperti kedai runcit, bank, pusat beli-belah dan hotel.

“FaceTrack dapat mengesan wajah dan imej kemudian diproses bagi memperoleh pemahaman yang dapat membantu mereka menambah baik pengalaman pelanggan.

“Ia juga dapat meningkatkan tahap keselamatan premis dan memperkemas operasi,” katanya ketika ditemui Infiniti di pejabatnya yang terletak di Pusat Perdagangan Icon City, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, FaceTrack sesuai bagi kegunaan perusahaan-perusahaan besar mahupun kecil dan sederhana termasuk peruncitan, perbankan, keraian dan pusat jagaan kesihatan.

Terang pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Angkasa, Embry-Riddle Aeronautical University, Florida, Amerika Syarikat (AS) itu, FaceTrack mula dibangunkan pada tahun 2017 dan dipasarkan pada tahun 2018 di Malaysia.

Pakej

Ia ditawarkan dalam bentuk pakej termasuk peranti kamera, perisian, perkakasan pelayan dan langganan dalam talian.

Ulas How Lim lagi, FaceTrack mempunyai ciri-ciri penting seperti pengesanan senarai hitam, demografi dan analisis emosi.

“Jika wajah yang tersenarai hitam dikesan, sistem akan menghantar amaran kepada petugas premis itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan pemberitahuan aplikasi mudah alih.

“Selain itu, pemilik premis yang menggunakan pengesan itu juga boleh memilih untuk menghantar pemberitahuan khusus selepas mengesan individu yang disenarai hitam,” jelas anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu.

Di samping itu, FaceTrack juga mampu mengenal pasti jantina dan julat umur orang yang masuk ke premis tersebut.

Tidak ketinggalan, ia juga boleh mengesan emosi pelanggan seperti gembira, sedih atau marah.

Justeru, setiap data yang disimpan boleh menjadi rumusan penting dalam memperbaiki jualan dan mengenal pasti demografi pelanggan tanpa perlu mengisi borang kepuasan pelanggan secara manual.

Tapway yang ditubuhkan pada tahun 2014 merupakan pembekal penyelesaian penjejakan untuk merekod dan mengenal pasti pergerakan lokasi dan tingkah laku pelanggan di premis fizikal.

Peneraju

Syarikat tersebut mempunyai visi yang sangat besar iaitu menjadi peneraju penyedia alat pengesanan tingkah laku di dunia untuk premis perniagaan fizikal.

Sementara itu, Ketua Operasi dan juga Pengasas Bersama Tapway, Justin Shye Loh berkata, FaceTrack berkeupayaan menangani isu keselamatan premis dan kepuasan pelanggan sepanjang mendapatkan perkhidmatan di tempat itu.

“Pengeluaran FaceTrack mengukuhkan lagi komitmen kami sebagai pembekal sistem penjejakan tingkah laku di negara ini.

“Sistem pengesanan ini telah digunakan di beberapa pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur,” tutur anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Jelasnya, FaceTrack didatangkan dengan kamera dan perisian yang mengoperasikan sistem tersebut.

Harga bagi perkakasan bermula dari RM8,000 dan perisian pula kira-kira RM2,500 setahun.

Menariknya, sistem perisian Tapway boleh disepadukan dengan pelbagai peranti kamera pengawasan sedia ada tetapi ia hendaklah menyokong Protokol Penstriman Masa Nyata (RTSP).

Tapway juga telah bekerjasama dengan Amazon Web Services (AWS).

“Imej yang dikesan dan disaring menggunakan perisian kecerdasan buatan milik Tapway akan dihantar kepada AWS untuk dianalisis.

“Proses ini bertujuan untuk menentukan julat umur, jantina, dan emosi di samping mengenal pasti wajah,” ujarnya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Angkasa, Embry-Riddle Aeronautical University, Florida, AS.

Semua wajah yang melalui proses pengecaman dengan AWS akan diberi pengenalan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×