KOTA BHARU 3 Jan. – Kerajaan Pas Kelantan kesal pihak berwajib khususnya Peguam Negara membiarkan khabar angin dan tohmahan ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V tersebar tanpa tindakan dari dahulu sehingga kini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, menjadi tugas Peguam Negara untuk menyiasat dan bertindak kerana Yang di-Pertuan Agong adalah satu institusi yang wajib dipertahankan kehormatannya.
“Perkara ini sudah lama berlaku, mula-mula ada satu, dua khabar angin, tetapi oleh kerana tiada tindakan maka orang menjadi semakin berani.
“Kita pun ingin tahu apa yang dibuat Peguam Negara sehingga orang boleh sebar macam-macam tentang Yang di-Pertuan Agong, sepatutnya Peguam Negara mengambil tindakan dan perhatian kerana kita bukan bercakap tentang seorang individu tetapi satu institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ucapan Amanat Tahun Baharu 2019 oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak menerima apa-apa maklumat rasmi mengenai ura-ura peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di Pertuan Agong dan menyifatkan berita yang tular di media sosial sebagai khabar angin yang tidak perlu dipercayai.
Tambahnya lagi, beliau yakin ia juga adalah sebahagian usaha berterusan pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah Kerajaan Pas Kelantan disebabkan hubungan erat dengan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau kita baca dari segi politiknya, ini adalah sebahagian usaha jatuhkan maruah kerajaan negeri sebab dia tahu hubungan kerajaan negeri dengan Yang di-Pertuan Agong ini rapat, jadi kalau boleh dikenakan sesuatu kepada Yang di-Pertuan Agong maka akan dipalitkan sama kepada kerajaan negeri,”katanya. – UTUSAN ONLINE










