MELAKA 9 Jan. – Kerajaan negeri meningkatkan kawalan berikutan kes demam denggi yang dikesan sebanyak 24 kes dalam tempoh lapan hari awal tahun ini, berbanding 11 kes dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17 kes dicatatkan di daerah Melaka Tengah manakala dua kes dikesan di daerah Alor Gajah dan lima kes di Jasin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, langkah kawalan itu dibuat berikutan sehingga kini terdapat dua lokaliti wabak aktif iaitu di Melaka Tengah dan Jasin.
“Sepanjang tempoh lapan hari, sebanyak 24 kes demam denggi direkodkan, namun ia tidak serius sehingga melibatkan kes denggi berdarah atau sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui pada program bersama pemandu pelancong di Banda Hilir di sini pagi ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan negeri turut mengesan dua lokaliti wabak aktif denggi iaitu di Pangsapuri Taman Tasik Utama, Ayer Keroh dan Taman Seri Hilir, Jasin.

“Sehingga kini Pejabat Kesihatan Daerah telah mengambil langkah pemeriksaan dan memantau beberapa lokasi penularan wabak serta mengeluarkan kompaun kepada mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pembiakan jentik-jentik,” katanya.
Menurut Chee Leong, sepanjang tahun lalu, sebanyak 722 kes demam denggi direkodkan dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Melaka Tengah iaitu 512 kes. – UTUSAN ONLINE










