YAN 9 Jan. – Suspek yang membunuh dua beradik dengan parang dipercayai telah terlebih dahulu menyerang seorang penduduk berdekatan surau di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini, kira-kira pukul 11 malam sebelum ke rumah mangsa.
Mohamad Shukri Halim, 39, berkata, dia yang dalam perjalanan untuk bekerja syif malam di sebuah kilang di Gurun, dekat sini dihalang lelaki itu di hadapan Surau Al-Falah yang terletak kurang 500 meter dari rumah ibu bapa dua beradik itu.
“Sebaik sahaja tiba di hadapan surau, saya lihat suspek menunggang motosikal lalu saya memberhentikan motosikal kerana menyangka dia mahu menyeberang jalan.
“Namun, tak disangka-sangka dia terus melibas satu objek panjang ke arah kepala saya tetapi nasib baik saya pakai topi keledar sebelum terus memecut dari situ,” katanya yang hanya mengetahui suspek telah membunuh dua beradik itu setelah tiba di tempat kerja.
Sementara itu, bapa saudara dua beradik berkenaan, Soberi Saad, 52, berkata, dia mengenali suspek namun tidak begitu rapat dan tidak pasti punca lelaki itu menyerang keluarganya.
“Saya tak tahu apa masalah dia, tetapi serangan dia memang rambang kerana semua orang dia serang, saya juga menerima 10 jahitan di bahagian kiri muka akibat dilibas dengan parang.
“Saya tak sangka dia bertindak menyembelih dua anak saudara di bilik bawah dan keadaan ketika itu samar-samar kerana lampu bahagian ruang tamu telah ditutup,” katanya.
Dalam pada itu, nenek kepada dua beradik itu, Jamilah Ismail, 60, sebak mengenangkan nasib menimpa cucu-cucunya yang dibunuh lelaki terbabit.
“Saya sedih apabila memikirkan keadaan dua beradik itu, kejadian ini sangat mengejutkan,” katanya yang turut berlari keluar ketika lelaki itu mengamuk di dalam rumah terbabit.
Tambah Jamilah, dia bersyukur kerana seorang lagi cucunya, Mohammad Hakim Idris, 7, yang tidur di dalam bilik bersebelahan tidak disedari suspek. – UTUSAN ONLINE










