Kerjasama wanita, muslimat terbukti dalam PRK Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Kerjasama wanita, muslimat terbukti dalam PRK Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 28 Jan. – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tidak terhad di peringkat tertinggi parti sahaja tetapi juga telah berjaya diterjemahkan di peringkat wanita dan muslimat, daripada kedua-dua parti.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman yang berkata, perkembangan tersebut sekali gus membolehkan kedua-dua parti untuk meneruskan kerjasama ini pada masa depan.


“Saya berpuas hati dan bersyukur atas kerjasama ramai wanita dan muslimat dari kedua-dua parti, yang seia sekata turun padang untuk berkempen sehingga calon BN menang,” katanya ketika ditemui sempena penutupan Pertandingan Boling Mahabbah Pas dan UMNO 2019 di Ole-Ole Superbowl Pasaraya Giant Kulim Central, Kulim di sini, semalam.


Yang turut hadir Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Tasek Gelugor, Noriah Syed Mohamad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Siti Hawa Abu Hassan.


Menurut Nor Hafizah, beliau melihat masyarakat Melayu dan Bumiputera kini mula menolak calon-calon daripada parti Pakatan Harapan kerana sudah tidak yakin dengan perjuangan mereka.


“Rakyat sedar bahawa kempen Pakatan Harapan, mula dipertikaikan dan ditolak oleh rakyat pelbagai kaum yang cintakan keamanan dan kebaikan antara satu sama lain,” katanya lagi.


Dalam pada itu, pengerusi pertandingan tersebut, Abdul Rahman Kassim berkata, seramai 24 orang wanita dari UMNO dan Pas mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan dalam usaha mengeratkan hubungan yang lebih baik antara satu sama lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×