ISKANDAR PUTERI 28 Jan. – Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berharap penjawat awam negeri ini menjadikan komitmen kerja Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminati bintang kebesaran KSM, Kerja Sampai Mati.
Menurut Osman, walaupun ungkapan itu dinyatakan secara berseloroh tetapi memberi makna yang mendalam lebih lagi keluar dari mulut seorang pemimpin yang berusia 93 tahun.
Menurutnya, apabila seseorang itu memilih kerjaya sebagai penjawat awam, bererti mereka membuat pilihan untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada rakyat dan negeri ini.
“Saya ingin meminjam kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, katanya, Bintang Kebesaran yang paling saya minati ialah KSM, Kerja Sampai Mati, walaupun ia dinyatakan secara berseloroh tapi maknanya cukup dalam.
“Dan saya juga mengharapkan supaya kita semua juga boleh menguna pakai darjah kebesaran KSM yang saya olah menjadi Kerja Seperti Mahathir,” katanya ketika menyampaikan amanat beliau kepada pegawai dan anggota perkhidmatan awam Johor di Kompleks Sukan Educity di sini sebentar tadi.
Osman berkata, penjawat awam juga perlu sentiasa produktif dan bersifat dinamik dalam menjalankan amanah sekali gus berpendapat rutin kerja dari 8 pagi hingga 5 petang dilihat tidak lagi sesuai dengan aspirasi kerajaan.
Ini kerana, katanya, dalam konteks dunia semasa yang berubah dengan cepat memerlukan penjawat awam sentiasa produktif, namun jika perlu bekerja di luar waktu pejabat untuk memastikan segala perancangan menepati tarikh akhir, lakukanlah dengan penuh keikhlasan.
“Anda semua haruslah memberikan komitmen penuh kepada kerajaan baharu, bantu kami untuk menjalankan tugas yang akhirnya memanfaatkan rakyat. Sama-samalah kita berganding bahu kerana anda semua merupakan tulang belakang kejayaan sebuah kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










