KUALA LUMPUR 27 Jan. – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) menjadi peringatan kepada kepemimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk peka terhadap kegelisahan rakyat berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepemimpinan PH juga perlu berusaha lebih gigih untuk memenuhi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta menangani sebarang masalah berkaitan isu kaum dan agama dengan penuh hikmah demi kemaslahatan semua.
Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, PKR menerima keputusan PRK Cameron Highlands semalam dan mengucapkan tahniah kepada calon BN, Ramli Mohd. Nor yang dipilih menjadi wakil rakyat.
“PKR mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah mengendalikan PRK Cameron Highlands dengan baik terutama dari sudut pengurusan aduan awam serta pengumuman keputusan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands semalam, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.
Ramli mendapat 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi. – UTUSAN ONLINE










