BUKIT MERTAJAM 20 Jan. – Kenderaan yang terjatuh ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai awal pagi tadi masih belum dijumpai setakat pukul 12 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan dan pemilik kenderaan berkenaan masih belum dikenal pasti.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah kereta jenis Toyota Vios disyaki terbabas sendiri di lorong kanan lalu melanggar pembahagi jalan di lokasi kejadian.
“Pada masa sama sebuah kereta datang dari arah belakang di lorong yang sama cuba mengelak lalu terbabas ke sebelah kanan.
“Kereta tersebut bergesel dengan pembahagi jalan dan hilang kawalan lalu merempuh tembok di sebelah kiri jalan sebelum tercampak ke dalam laut,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi hari ini, sebuah kereta berwarna putih terjatuh ke dalam laut selepas terlibat dengan kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios.
Pemandu kereta Toyota Vios berusia lingkungan 20-an itu didapati cedera dan kini di rawat di Hospital Pulau Pinang (HPP). – UTUSAN ONLINE










