SEJAK 1955, Malaysia telah menyaksikan 14 Pilihan Raya Umum (PRU) untuk memilih kerajaan melalui proses demokrasi tanpa sebarang tekanan ataupun desakan.
Setiap kali munculnya PRU ataupun sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK), situasi yang menjadi perhatian ialah skop kempen khususnya melibatkan aset dan jentera kerajaan termasuk definisi ‘rasuah’ dalam proses kempen.
Isu ini sering kali dibangkitkan, diperdebatkan dan sudah menjadi satu ‘dilema politik’ sehingga mencetuskan pelbagai andaian, spekulasi dan implikasi.
Masing -masing menuding jari antara satu sama lain. Yang berkuasa mahu tunjuk kononnya merekalah ‘kepala bersih’. Yang sudah hilang kuasa pula mahu tunjuk merekalah yang ‘terbaik dan adil ’ sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula sering kali menjadi sasaran dan kritikan. Persoalannya, apakah kuasa SPR untuk ‘mengawal, membendung dan menyekat’ gejala seperti itu tidak kerap menular?
Malah di media sosial pula, isu seperti itu kerap menjadi tular sehingga menjejaskan kredibiliti SPR kerana tidak ada ‘keterangan’ yang jelas dari aspek peraturan badan itu. Malah pihak SPR juga hanya sekadar dapat bertindak sebagai ‘badan penasihat’ dan tidak ada ‘kuasa bertindak’.
SPR sudah berkali-kali memberi peringatan kepada semua pihak supaya membuat laporan sama ada kepada badan itu ataupun terus ke SPRM sekiranya ada unsur salah guna kuasa dan elemen rasuah.
Yang paling mengelirukan sekali ialah apabila isu seperti ini diheret ke mahkamah selepas satu keputusan rasmi diumumkan SPR. Ada ketikanya keputusan mahkamah turut boleh ‘menjejaskan’ imej SPR sekiranya mahkamah dapat menafikan kemenangan yang ‘disahkan’ oleh badan itu sebelum ini selepas proses demokrasi yang sah.
Sudah tiba masanya semua pihak yang berkepentingan khususnya parti politik dapat bertindak secara bersama serta bersatu untuk menghentikan aktiviti ‘politik kotor’ supaya tidak menular. SPR tidak mampu bertindak secara solo.
Rakyat juga sudah muak dan menyampah dengan taktik politik ala ‘cendawan’ di mana bila tiba sahaja musim pilihan raya macam-macam pihak muncul, timbul secara berleluasa.
Malah kita juga sering kali mendengar cerita, kenyataan dan komen kononnya kementerian tertentu telah mengatur program sejak dari dulu lagi di kawasan pilihan raya dan macam-macam alasan untuk ‘menyokong’ tindakan mereka. Inilah yang terjadi dulu dan ketika ini.
Di era Malaysia Baharu ini, seharusnya kepimpinan sekarang perlu menjadi contoh terbaik. Janganlah main politik ‘kitar semula’ tetapi dengan skrip baharu. Penulis juga sedang mencari-cari di manakah perjuangan Bersih yang dilaungkan mereka sebelum ini?
Ingatlah, pegangan, prinsip dan pendirian politik perlulah sentiasa dipertahankan. Penggunaan jentera dan aset kerajaan pada PRU dan PRK perlu dihentikan demi menjaga integriti proses pilihan raya di negara ini.
Kempen pilihan raya perlu mendahulukan proses menangani permasalahan rakyat. Manifesto yang dirangka perlulah ‘logik’ dan bukannya sekadar ‘imaginasi’ sahaja.
Sudah tiba masanya proses pilihan raya di Malaysia memerlukan satu permulaan baharu secara drastik dari aspek kempen khususnya unsur ‘rasuah’ yang cukup mendalam tafsirannya sekiranya gagal ditangani secara efektif.
Persoalannya, siapakah yang menjadikan kempen pilihan raya sebagai ‘gelanggang kotor dan bersih?’ Tepuk dada tanya selera!
DATUK ANBUMANI BALAN ialah penganalisis politik dan perunding media.











