MELAKA 1 Jan. – Kementerian Industri Utama giat melaksanakan pelbagai usaha serta mencari jalan terbaik ke arah memastikan harga sektor komoditi minyak sawit di negara ini terus meningkat.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, sektor berkenaan perlu diberikan tumpuan utama kerana harga komoditi penting dalam pembangunan pertanian negara selain menyumbang pendapatan ekonomi negara.
Menurutnya, antara usaha itu termasuk memperkenalkan Kempen Sayangi Sawit agar setiap rumah di negara ini mempunyai bekalan minyak sawit mencukupi yang secara tidak langsung memberi pulangan positif terutama kepada pekebun-pekebun kecil.
“Dalam masa sama, kita juga akan meneruskan kesinambungan aktiviti perdagangan minyak sawit di seluruh dunia terutama di pasaran baharu dengan pendekatan fokus kepada negara-negara yang mampu memberikan tindak balas positif terhadap industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program menyantuni penghuni Pusat Jagaan Kanak-kanak Terencat Akal sempena Tahun Baharu di Bukit Baru di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










