LONDON 2 Jan. – Tottenham Hotspur dan Arsenal mempamerkan kebangkitan daripada kekalahan selepas meraih kemenangan pada sambutan tahun baharu, dengan Spurs membenam Cardiff 3-0, manakala Gunners membelasah Fulham 4-1 di Emirates.
Jamie Vardy pula menjadi penyelamat Leicester City, apabila jaringannya membolehkan pasukannya melakar kemenangan 1-0 ke atas Everton di laman lawan, semalam.
Tottenham kembali membuktikan mereka mampu menjadi pencabar gelaran Liga Perdana Inggeris selepas beraksi buruk tewas kepada Wolves, Sabtu lalu, dan dalam perlawanan awal pagi tadi (waktu Malaysia) skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu mudah melakar kemenangan di Selatan Wales bagi membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua dalam carta liga.
Tiga gol Spurs disempurnakan oleh kapten, Harry Kane (minit ke-3), Christian Eriksen (minit ke-12) dan Son Heung-min (minit ke-26). Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino berkata, pemainnya perlu konsisten jika mahu menang gelaran Liga Perdana.
“Saya tidak mahu melihat kedudukan. Sudah tentu kami berkedudukan baik. Kami perlu konsisten pada keseluruhan musim,” katanya yang masih belum meraih sebarang trofi sejak membimbing Spurs.
Sementara itu, Arsenal yang diaibkan Liverpool 1-5, hujung minggu lalu, hampir mengulangi kesilapan serupa apabila dua percubaan awal pemain Fulham, Ryan Sessegnon tersasar, sebelum skuad bimbingan Unai Emery itu bangkit menerusi jaringan Granit Xhaka pada minit ke-25.
Alexandre Lacazette menjadikan kedudukan 2-0 sebaik permainan disambung semula, sebelum Aboubakar Kamara merapatkan jurang gol untuk Fulham pada minit ke-69. Namun, Aaron Ramsey menyumbat gol ketiga Arsenal, dan diikuti jaringan Pierre-Emerick Aubameyang bagi melengkap kemenangan Gunners tujuh minit sebelum waktu sebenar permainan berakhir.
“Kami mahu meraih kemenangan dan kejayaan itu memberikan kami keyakinan. Kami sentiasa memberikan tekanan kepada lawan dan perkara itu menggembirakan saya.
“Ia normal untuk penyokong meragui keupayaan kami ketika keputusan menjadi 2-1, namun, pemain meneruskan usaha mereka dan bermain mengikut perancangan. Saya berasakan kami layak untuk menang besar,” katanya. – AGENSI










