ABU DHABI 30 Jan. – Qatar menempah slot ke saingan akhir Piala Asia buat kali pertama selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 4-0 yang turut menyaksikan penyokong tuan rumah membaling kasut dan botol ke dalam padang selepas tamat perlawanan.
Penyokong UAE bertindak sedemikian ketika pemain Qatar meraikan kemenangan dan sewaktu mereka menjaringkan gol dalam aksi separuh akhir tersebut.
Bukan itu sahaja, kebencian penyokong tuan rumah terhadap pasukan lawan turut dipamerkan ketika lagu kebangsaan Qatar dimainkan yang menyaksikan mereka mengejek dengan kuat dan semua itu berlaku disebabkan ketegangan hubungan antara dua negara berkenaan.
Jurulatih Qatar, Felix Sanchez berkata, dia kagum de-ngan kesabaran dipamerkan oleh pemainnya dalam perlawanan berkenaan terutama ketika berdepan tekanan daripada penyokong tuan rumah.
“Ia bukan satu situasi yang mudah. Pemain telah menjangkakan situasi berkenaan, malah, mereka juga sedar de-ngan tekanan melampau yang bakal dihadapi.
“Kesabaran mereka menghadapinya dan keupayaan mengawal emosi membuatkan saya kagum terhadap semua pemain Qatar,” kata Sanchez.
Dalam perlawanan tersebut, empat gol Qatar dijaringkan oleh Boualem Khoukhi (minit ke-22), Almoez Ali (minit ke-37), Hasan Khalid Al Haydos (minit ke-80) dan Hamid Ismail yang disempurnakan ketika masa kecederaan.
Qatar bakal menentang Jepun dalam perlawanan akhir, Jumaat ini.– AGENSI











