KUALA LUMPUR 6 Jan. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk mengkaji bahkan mengembalikan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada orang bujang agar dapat meringankan beban golongan tersebut.
Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha berkata, orang bujang khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan menetap di kawasan bandar perlu diletakkan di bawah kategori pemohon kerana meskipun bujang, mereka sebahagian besarnya turut menghantar wang membantu keluarga di kampung.
“Orang bujang adalah golongan produktif menyumbang untuk negara, jadi BSH amat membantu meringankan beban sekali gus memberi kelegaan untuk mereka fokus bekerja membangunkan negara.

“Kerajaan wajar mengkaji dan mengembalikan BSH kepada golongan bujang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Berdasarkan laman web bsh.hasil.gov.my, golongan bujang yang mempunyai tanggungan antara kategori pemohon yang tidak layak menerima bayaran BSH 2019.
Jelas laman web rasmi itu, tiga golongan tidak layak menerima bantuan tersebut adalah berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia, bujang atau ibu bapa tunggal tiada tanggungan dan bujang yang mempunyai tanggungan.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Belia Inovasi Taman Temerloh Makmur, C. Uganeswaran pula berpandangan, kerajaan perlu menawarkan skim bantuan lain kepada orang bujang sekiranya golongan itu diletakkan di bawah kategori pemohon yang tidak layak menerima BSH.
Katanya, sebagai contoh, antara skim bantuan yang boleh ditawarkan bagi menggantikan BSH adalah pemberian diskaun untuk pengambilan lesen kenderaan dan kupon khas bagi mengisi petrol agar golongan tersebut tidak dipinggirkan.
“Meskipun pemberian BSH tidak dapat menampung kos secara keseluruhannya, namun masih ada belia menganggap jumlah wang itu amat berguna kepada mereka, misalnya, dapat menampung kos pengangkutan, kos pengambilan lesen dan lain-lain.
“Justeru, kerajaan diminta untuk mengkaji semula syarat BSH agar golongan bujang turut dapat menikmati manfaat bantuan tersebut,” katanya.










