Keluarga Norwahidah serah kepada polis - Utusan Malaysia

Keluarga Norwahidah serah kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU 30 Jan. – Keluarga Norwahidah Abdul Hamid, 28, kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya yang ditemukan mati bersama suaminya dalam satu kebakaran di rumah mereka di Sepang, Selangor, kelmarin, menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kejadian itu yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Bapanya, Abdul Hamid Yunus, 57, berkata, dia tidak mahu mengulas mengenai kejadian menimpa anak sulungnya itu kerana belum menerima butiran terperinci berkaitan kes terbabit.

“Saya tiada apa-apa yang hendak diulas kerana belum berjumpa dan mendapat maklumat yang tepat daripada pegawai penyiasat kes ini, disebabkan itu saya tidak akan beri komen.

“Cuma saya bersyukur hari ini jenazah telah selamat dikebumikan dan mendapat kerjasama yang baik dari anak kariah kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian anaknya di sini hari ini.

Norwahidah dan suaminya, Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dilaporkan maut dalam kebakaran pada pukul 1.13 petang, dengan wanita itu ditemukan di atas katil sebuah bilik manakala lelaki itu di dalam bilik air di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan laporan awal bedah siasat terhadap mayat Norwahidah mendapati terdapat kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di bahagian kepalanya.

Terdahulu, jenazah Norwahidah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah, Ayer Hitam, di sini kira-kira pukul 10 pagi selepas tiba di kampung halaman neneknya itu kira-kira pukul 5 pagi ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Zaiton Ismail, 57, ketika ditemui enggan ditemu bual. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN