Kelantan teliti semula kenaikan kadar bayaran urusan tanah - Utusan Malaysia

Kelantan teliti semula kenaikan kadar bayaran urusan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Jan. – Kerajaan Pas Kelantan akan meneliti semula tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri yang dikatakan menaikkan kadar bayaran beberapa urusan hartanah terlalu tinggi berbanding kadar asal, iaitu sehingga 500 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, secara amnya, semakan semula kadar bayaran berkaitan hartanah termasuk premium tanah di negeri ini perlu dilakukan kerana proses itu sudah tertangguh sejak hampir 30 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, sejak kadar baharu diperkenalkan semalam, rakyat mula mengemukakan aduan dan pihaknya mengakui terdapat kenaikan kadar bayaran yang agak tinggi dalam beberapa urusan tertentu.

“Bila ada rungutan dan aduan rakyat, kita kena tengok dan teliti semula. Itu kaedah yang kita amalkan. Lepas kita tengok, memang ada yang agak tinggi kenaikan kadar itu.

“Kita akan rujuk Pengarah PTG dan dapatkan maklumat lanjut daripada pihak beliau terlebih dahulu sebelum buat tindakan susulan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial salinan pekeliling mengenai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 7 November 2018 telah bersetuju untuk meluluskan kadar baru bayaran urusan pejabat tanah yang berkuat kuasa untuk seluruh negeri mulai 1 Januari 2019.

Antara yang menarik perhatian dan mengundang rungutan orang awam ialah kadar bayaran urusan tertentu yang dikatakan naik antara 20 peratus sehingga 500 peratus daripada kadar asal.

Sebagai contoh, urusan carian rasmi telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM120, perletakhakkan untuk melepaskan gadaian pinjaman perumahan (RM370 kepada RM2,000), pendaftaran PA (RM200 kepada RM500), pendaftaran melepaskan gadaian (RM80 kepada RM120), bayaran untuk mendapatkan salinan geran (RM60 kepada RM80) dan pendaftaran kelulusan untuk pindahmilik (RM180 kepada RM 250). – UTUSAN ONLINE

Notis
 
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN