Kelainan di Man'z Roti Puri - Utusan Malaysia

Kelainan di Man’z Roti Puri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 30 Jan. – Menu sarapan seperti nasi lemak, roti canai, lontong dan roti bakar mungkin sudah menjadi kebiasaan buat sebilangan masyarakat di negara ini.

Namun bagi yang mahukan kelainan, boleh cuba menu sarapan roti puri dan pas­tinya antara lokasi yang menjadi tum­puan masyarakat bagi menu itu adalah gerai Man’z Roti Puri.

Uniknya roti puri yang biasanya diusahakan masyarakat India, Man’z Roti Puri beralamat di Terminal Bas Taman Universiti, Skudai, dekat sini, merupakan air tangan peniaga Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dihidangkan dengan beberapa pilihan kuah kari sama ada ayam, lembu mahupun kam­bing. Istimewa Man’z Roti Puri mempunyai adunannya sendiri.

Gerai itu beroperasi seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari. Bagaimanapun jika teringin menikmati menu roti puri, pengunjung dinasihati berkunjung awal ke gerai tersebut.

Ini kerana sebagai menu tumpuan, hidangan kebiasaannya akan habis menjelang pukul 10 pagi. Jika bernasib baik atau ada rezeki sahaja dapat menikmati­nya selepas waktu itu.

Menurut pengusahanya, Sulaiman Ismail, 57, keadaan itu kerana pihaknya meletakkan had dalam menghidangkan roti puri iaitu sekitar 300 keping dalam satu hari.

“Memang roti puri menjadi menu utama pengunjung di gerai ini selain kami juga menjual menu lain, jadi bagi memberi kepelbagaian, kami terpaksa mengehadkan jumlahnya.

“Jadi bagi yang mahu merasainya, dinasihatkan berkunjung awal kerana kebiasaannya roti puri akan habis dijual sebelum pukul 10 pagi lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Sulaiman yang berasal dari Pontian, dia mula belajar membuat roti puri selepas bersara sebagai pekerja swasta pada usia 50 tahun.

Mendapat tunjuk ajar awal daripada seorang rakannya yang juga berniaga, setelah beberapa tahun, dia melakukan tambah baik adunan berkenaan sebelum dikomersialkan.

“Selain menjual roti puri di gerai ini, saya juga mengambil tempahan menyediakan roti puri bagi apa-apa majlis.

“Setakat ini, tempahan yang diterima adalah dari sekitar Johor serta Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya yang menguruskan perniagaan itu bersama-sama anak-anaknya.

Sementara itu, seorang pe­langgan setia gerai Man’Z Roti Puri, Harun Mohd., 61, berkata, dia kerap bersarapan di gerai itu dan roti puri menjadi antara menu kegemarannya.

“Dahulu saya jarang dengar menu ini dan saya juga tidak tahu bagaimana rasanya namun setelah menikmatinya di gerai ini, memang menu ini menjadi salah satu kegemaran saya.

“Roti puri yang dijual di sini berbeza dengan beberapa tempat lain, keranggupan dan rasanya berbeza, ditambah pula dengan kuah kari yang dihi­dangkan,” ujarnya.

Bagi mereka yang mahu membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Sulaiman di talian 013-7172530 atau layari laman Facebook Man’z Roti Puri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini