JOHOR BAHRU 28 Jan. – Polis sedang bekerjasama dengan Jabatan Penjara bagi mencari kaedah terbaik mengekang kegiatan penyeludupan dadah ke dalam penjara agar tidak berulang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kerjasama itu tidak melibatkan penjara Simpang Renggam sahaja, tetapi di seluruh negara.
“Kami sudah berbincang berhubung perkara ini beberapa kali dan kerjasama antara pihak terlibat khususnya Jabatan Penjara juga telah dibuat untuk mengekang perbuatan ini agar tidak berulang.
“Namun kami percaya perkara ini dalam keadaan terkawal,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bersama-sama Ketua-ketua JPJKK di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini sebentar tadi.
Sebelum ini polis memaklumkan telah menahan lima lelaki di sekitar negeri ini dan merampas dadah dianggarkan bernilai RM814,000.
Suspek dipercayai membekalkan dadah ke dalam penjara Simpang Renggam sejak 2017. – UTUSAN ONLINE










