“BETUL tak ramalan saya? PH (Pakatan Harapan) akan kalah di Cameron Highlands”.
Begitulah kata-kata sahabat saya Datuk Hisham pada pagi Ahad lalu, sewaktu kami bersarapan di sebuah kedai mamak di tengah bandar raya Alor Setar ini.
Kita baru sahaja selesai berkongsi membaca akhbar Mingguan Malaysia keluaran hari itu, dengan berita muka depannya bertajuk “MAJORITI BESAR”.
Sejak sebulan lalu beliau telah berkali-kali menyatakan kepada saya bahawa PH akan kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK Cameron Highlands.
Selain mengingatkan saya bahawa kawasan itu adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak dahulu, beliau turut menyatakan beberapa faktor yang boleh menyebabkan kekalahan itu.
Nampaknya ramalan beliau itu tepat sekali kerana PH kalah teruk dalam PRK tersebut. Calon BN, Ramli Mohd. Nor menang besar dengan 12,038 undi berbanding calon PH, M. Manogaran yang hanya menerima 8,800 undi. Dua calon bebas gagal mendapat sambutan dari pengundi.
Kemenangan di Cameron Highlands ini merupakan kemenangan BN kali pertama dalam lima pilihan raya kecil yang berlangsung semenjak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 lalu.
Dalam tiga PRK di Selangor sebelum ini, kesemuanya dimenangi PH. Dalam PRK di Port Dickson, calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang besar. Anwar dapat bertanding di situ setelah dia diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kerjasama padu UMNO-Pas
Pastinya kemenangan BN di PRK Cameron Highlands ini menjadi pembakar semangat (moral booster) bagi pemimpin BN kerana ia membuktikan bahawa PH masih boleh dikalahkan di masa depan.
Seperti diramalkan oleh sahabat saya itu, kerjasama padu antara BN dengan Pas kali ini membuahkan hasil. Tidak seperti PRU-14 dahulu di mana Pas telah menurunkan calonnya melawan calon PH dan calon BN pada PRK kali ini Pas menggerakkan ahli partinya untuk menyokong calon BN.
Dalam PRU-14 itu di mana wujud pertarungan lima penjuru untuk menawan Cameron Highlands, BN menang tipis (majoriti 594 undi sahaja).
Mengikut pemerhati politik, hampir dua pertiga penyokong tegar Pas telah mengundi calon BN pada PRK ini.
Datuk Hisham juga telah meramalkan bahawa kegagalan kerajaan PH menunaikan ‘janjinya’ semenjak mengambil alih Putrajaya akan menyebabkan kekalahannya dalam PRK di Cameron Highlands ini.
Jentera pilihan raya PH juga nampaknya tidak mampu menewaskan kempen Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media sosial.
Walaupun bekas Perdana Menteri itu kini menghadapi pelbagai tuduhan jenayah melibatkan skandal 1MDB (perbicaraannya akan bermula pada 12 Februari depan), beliau yang kini masih bebas (dengan ikat jamin sementara menunggu hari bicara) telah menggunakan sepenuhnya kebebasannya ini untuk terus berkempen bagi calon BN.
Gagal ‘baca’ kriteria calon
Sahabat saya itu juga ada menyatakan bahawa PH melakukan kesilapan kerana tidak mencalonkan muka baharu yang lebih memahami politik tempatan.
Ini penting selain calon yang boleh diterima semua lapisan pengundi khususnya dalam kalangan Orang Asli.
PH gagal mengambil kira fakta bahawa Ramli yang berusia 61 tahun seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat pegawai kanan adalah calon Orang Asli pertama di negara ini. Kejayaannya di PRK ini menjadikan beliau Orang Asli pertama bergelar Ahli Parlimen.
Saya katakan kepada sahabat saya itu, selain beberapa faktor yang disebut olehnya menyebabkan kekalahan PH dalam PRK pada Sabtu lalu itu, ada juga beberapa faktor lain yang menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi.
Misalnya beberapa pemimpin UMNO ada menuduh jentera PH menggunakan kenderaan kerajaan dan aset tentera untuk berkempen.
Walaupun dakwaan dan tuduhan ini dijawab, ramai berpendapat the damage is done (mudarat telah berlaku) kerana kerja memperbetulkan persepsi rakyat jelata berhubung perkara ini gagal dilakukan sepenuhnya.
Nasib penoreh, peneroka
PRK Cameron Highlands terpaksa diadakan pada Sabtu 26 Januari lalu setelah mahkamah mengisytiharkan kemenangan tipis BN (majoriti 567 undi) pada PRU-14 lalu tidak sah disebabkan berlaku rasuah dan sogokan.
Sayang sekali kemenangan awal PH dalam kes mahkamah itu nampaknya sia-sia kerana gagal diterjemahkan menjadi kemenangan dalam PRK yang baru lalu ini.
Datuk Hisham menyatakan kepada saya pagi Ahad lalu bahawa sokongan besar diberi kepada calon BN oleh pengundi di Cameron Highlands itu boleh jadi satu protest votes (undi bantahan) terhadap kerajaan PH.
Pengundi marah kerana selain isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan oleh kerajaan, beberapa isu lain seperti isu subsidi yang dikurangkan, nasib penoreh getah, pesawah dan penanam sawit yang terus diabaikan serta nasib masa depan peneroka Felda yang belum dibela turut menjadi faktor kekalahan PH dalam PRK kali ini.
Saya katakan kepada sahabat saya pada pagi itu bahawa dari pembacaan saya di media sosial dan akhbar aliran perdana, ada yang berpendapat antara faktor kekalahan PH pada kali ini adalah mutu kempennya yang lemah, tidak sepadu dan tidak sepenuh hati untuk menang.
Dalam bahasa mudah, mereka gagal go all out semasa berkempen. Kalau PH ‘tidak belajar’ dari kesilapannya di PRK Cameron Highlands ini dan terus gagal menyelesaikan masalah kehidupan rakyat luar bandar (bukan hanya miskin bandar seperti yang mereka lakukan selama ini), sahabat saya itu khuatir mereka akan menemui kekalahan di PRU-15 depan.
Barangkali kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands ini ada hikmahnya.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.










