Kehilangan pelancong Finland dimaklumkan kepada kedutaan - Utusan Malaysia

Kehilangan pelancong Finland dimaklumkan kepada kedutaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN – Polis di sini telah memaklumkan pihak kedutaan Finland berhubung kehilangan pelancong dari negara itu di Pulau Tioman pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd. Noor, berkata, kehilangan Nikitin Aleksis Elis Valtteri, 20, sejak lima hari lalu telah dimaklumkan kepada kedutaan Finland hari ini.

Ujar beliau lagi, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat pelancong tersebut.

Azli berkata, mangsa dipercayai hilang ketika berjalan seorang diri untuk menuju ke Air Terjun Kampung Asah di Pulau Tioman pada Selasa lalu sebelum dilaporkan tidak pulang.

“Mangsa seorang diri tiba di Pulau Tioman pada Isnin lalu. Dia menumpang tidur di rumah seorang penduduk di Kampung Paya dan bertanya mengenai arah menuju ke Air Terjun Kampung Asah.

“Keesokannya (22 Januari), penduduk berkenaan mendapati mangsa sudah keluar dan tidak kembali ke rumahnya. Penduduk berkenaan kemudian membuat laporan polis semalam,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, operasi mengesan kedudukan mangsa dilakukan di sekitar kawasan Air Terjun Motherwillow.

“Pencarian melibatkan laluan ke Gunung Kajang iaitu kawasan di tengah Pulau Tioman terletak kira-kira 3 kilometer dari Kampung Paya. Operasi turut melibatkan unit anjing pengesan serta dibantu polis dan APM,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×