Kegagalan Peguam Negara memalukan - Mohamad - Utusan Malaysia

Kegagalan Peguam Negara memalukan – Mohamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 29 Jan. – Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas memberikan nasihat perundangan yang tepat dalam penubuhan tribunal menyiasat enam bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah memalukan dan tidak boleh diterima.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, atas nasihat Peguam Negara itu, kerajaan telah menubuhkan tribunal khas berkenaan bagi menyiasat sama ada wujud salah laku melibatkan peranan enam individu itu dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, malangnya, Peguam Negara terlepas pandang atau gagal memberikan nasihat perundangan terkini dan tepat kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selepas keenam-enam pesuruhjaya yang dinamakan meletakkan jawatan.

“Beliau (Thomas) tidak segera mengambil tanggungjawab untuk memaklumkan perubahan konteks dan fakta bahawa mereka yang hendak disiasat itu telah meletakkan jawatan, sekali gus menyebabkan tribunal tersebut sudah tidak diperlukan.

“Harus diingatkan bahawa tugas Peguam Negara bukan saja memberi nasihat berkaitan undang-undang tetapi memastikan nasihat yang diberikan itu sesuai, tepat dan praktikal dengan konteks semasa.

“Jika berlaku sebarang perubahan fakta adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk memaklumkan perkara tersebut kepada negara, Yang di-Pertuan Agong dan pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamad berkata, kegagalan Thomas itu telah menyebabkan tribunal yang ditubuhkan sekadar bersifat akademik, sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan produktif selain pembaziran masa serta sumber negara.

Tegasnya, kegagalan beliau telah mencemarkan nama baik institusi Peguam Negara, Istana Negara dan kerajaan secara keseluruhannya.

“Kerajaan bukan saja dilihat mengambil tindakan yang sia-sia tetapi sangat tidak peka dengan fakta semasa apabila tetap meneruskan prosiding tribunal tersebut sekalipun selepas enam pesuruhjaya SPR yang terlibat telah meletakkan jawatan,” katanya.

Mohamad berkata, UMNO menggesa Peguam Negara untuk mengambil tanggungjawab penuh berhubung kegagalan besar beliau dalam perkara yang sangat memalukan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×