KOTA BHARU 2 Jan. – Premis makanan luar bandar juga tidak terkecuali daripada peraturan larangan merokok yang hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Julai.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin berkata, buat masa ini pihak Kementerian Kesihatan telah menetapkan tempoh enam bulan bagi program kempen dan pendidikan kepada orang ramai mengenai peraturan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai kekuatan pegawai penguatkuasa seramai 350 orang untuk memantau 5,441 premis makanan di seluruh negeri ini namun yakin ia mencukupi dengan sokongan penuh seluruh masyarakat termasuk pengamal media.
“Pegawai penguatkuasa inilah yang akan turun berkempen secara langsung dan mereka juga yang akan mengenakan kompaun kelak.
“Kita tidak tertumpu kedai dalam bandar sahaja tetapi kedai luar bandar juga tidak terlepas daripada peraturan, orang ramai boleh menghubungi kita sepanjang masa sama ada melalui emel, telefon atau aplikasi WhatsApp untuk menyalurkan sebarang aduan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Penguatkuasaan Pendidikan di Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok di negeri Kelantan 2019 di Kedai Kopitiam Kita di sini hari ini.
Mulai 1 Januari 2019, tempat makan telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (Pindaan 2018) di mana individu yang merokok akan dikenakan denda maksima RM 10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun manakala pemilik premis yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok akan didenda maksima RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Bagi kesalahan gagal memastikan orang tidak merokok di tempat makan pula, pemilik premis akan dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun. – UTUSAN ONLINE










